Tips-tips Blog Yang Baik :
Sebagaimana manusia yang baik itu ada ciri-cirinya, maka blog yang baik juga sedemikian.
Di sini, saya ingin berkongsikan berkenaan hal itu. Apa-apa pun,
sebelum memulakannya, saya suka hendak menyatakan bahawa, ciri-ciri blog
yang baik ini adalah daripada pandangan saya semata-mata. Bukanlah saya
rujuk daripada mana-mana bahan bacaan.
Ciri Pertama: Blog Tidak Berwarna Mencucuk Mata.
Kadangkala kita berfikir bahawa, blog yang berwarna warni itu cantik. Sebenarnya tidak semua warna akan mencantikkan blog.
Blog yang baik adalah yang senang mata memandang. Sebab itu,
kebanyakan blog yang menarik, adalah yang blog yang tidak terlalu banyak
menggunakan warna pada layout asasnya.
Warna yang terbaik hakikatnya adalah warna putih keseluruhan, atau hitam keseluruhan.
Bukan warna merah terang, kuning terang, hijau terang dan sebagainya yang menyakitkan dan memedihkan mata.
Ciri Kedua: Tulisan Mudah Dibaca
Kadangkala, ada yang menyangka, jika tulisannya bersimpul-simpul, maka lebih cantik. Sebenarnya tidak.
Apabila membaca, pembaca ingin memahami. Jadi untuk membantu pembaca
itu ingin memahami apa yang kita sampaikan, kita perlu kurangkan stress
mereka ketika membaca. Antara caranya adalah dengan memberikan tulisan
yang mudah difahami oleh mereka.
Kerana itu, sebaik-baik jenis font adalah font calibri. Simple. Kemas. Menarik.
Kemudian janganlah kita warna-warnikan tulisan kita, kita letakkan
warna latar pada tulisan kita. Itu semua memeningkan pembaca dan
menyakitkan mata.
Kalau background hitam, letaklah warna putih. Kalau background putih,
letaklah warna hitam. Begitu sahaja sudah cukup menarik sebenarnya.
Ciri Ketiga: Tidak Mempunyai Music Box dan gambar-gambar yang tidak penting.
Hari ini seperti sudah menjadi trend untuk ramai blogger meletakkan
‘music box’ pada blog mereka. Kononnya sebagai halwa telinga. Ada yang
letak lagu-lagu, ada yang letak nasyid, ada juga yang letak Al-Quran.
Saya yakin, ramai sahaja yang berniat baik apabila meletakkan semua
itu. Tetapi sebenarnya, antara ciri-ciri blog yang baik pada saya adalah
yang tidak mempunyai langsung kesemua itu. Pendek kata, tidak mempunyai
Music Box. Mengapa?
Sebab pertama: Kadar kelajuan internet setiap orang tidak sama. Jadi,
bagi yang berkelajuan internet perlahan, music box anda akan kedengaran
tersekat-sekat. Ini menganggu ketenangan pembaca.
Sebab kedua: Mungkin pembaca tidak meminati lagu yang anda mainkan
itu. Lantas dia tidak suka melawati blog anda hanya kerana apa yang anda
mainkan itu tidak kena dengan minatnya.
Sebab ketiga: Ada pembaca memang suka membaca dalam keadaan senyap
tanpa apa-apa bunyi. Jadi bila blog anda ‘berbunyi’, mereka akan rasa
rimas dan meluat.
Maka pilihan yang terbaik adalah, tidak perlu ada langsung semua itu.
Kemudian, blog yang baik tidak mempunyai gambar-gambar yang tidak
penting. Kalau kita pergi ke kebanyakan blog-blog, kita akan perhatikan
ramai yang suka letak pelbagai gambar. Gambar artis ada, gambar ulama’
ada, gambar keluarga ada, gambar logo NGO yang dia sertai pun ada.
Baik. Untuk saya, semua itu tidak perlu. Serabut.
Gambar artis – Ada pembaca anda mungkin suka, ada yang mungkin tidak
suka. Ada pula yang hanya akan melihat anda sebagai blogger yang tidak
matang apabila menggantungkan gambar-gambar artis pada blog anda.
Gambar ulama’ – Ada pembaca mungkin fanatik dengan ulama’-ulama’
tertentu dan tidak bersetuju dengan ulama’-ulama’ kesukaan anda. Lantas
tidak melawati blog anda hanya kerana melihat anda menggantung gambar
ulama’ bukan kegemaran mereka. Ada pula pembaca, lihat sahaja
gambar-gambar ulama’ yang bertimbun pada blog anda, terus rasa inferior
dan merasakan blog itu hanya untuk orang-orang agama sahaja.
Gambar keluarga – Ada orang rasa, itu terlalu personel. Buat apa
tayang-tayang di sidebar. Mereka bukan hendak tengok pun. Gambar itu
hanya bermakna untuk anda sahaja. Melainkan ayah dan mak anda, atau ahli
keluarga anda itu berblog juga dan menjadi tempat rujukan mereka pula.
Gambar NGO yang disertai – Pun tidak perlu sebenarnya. Ini hanya akan
mengurangkan kumpulan pembaca anda. Dan blog anda tidak akan kelihatan
‘umum’, tetapi lebih kelihatan hanya untuk yang ‘sekepala’ dengan anda.
Jadi, untuk menjadi sebuah blog yang baik, website yang baik, kita
tidak perlu letak apa yang tidak perlu. Yang tidak perlu ini hanya akan
menambah keserabutan sahaja.
Ciri Keempat: Kemas. Menarik. Teratur. Mudah.
Lagi, blog yang terbaik adalah blog yang kemas, teratur, dan mudah untuk pelawat berurusan dengannya.
Post-postnya tidak lewah ke bawah. Ada ‘read more’, dan tidak terlalu
banyak post ditunjukkan pada HOME. Mungkin kadar yang sesuai adalah
sekitar tiga ke lima post sahaja.
Sidebarnya teratur dan mudah. Ada gambar penulis sebaik-baiknya, ada
diskripsi ringkas berkenaan profil tuan punya blog contohnya, ada
link-link rakan blogger yang lain, ada shoutbox untuk orang berziarah
meninggalkan jejak, dan di sidebar ada update post terkini, atau komen
terkini. Semua itu disusun dengan baik. Pelawat pula mudah berurusan
dengannya, tidak pening, tidak ‘tersesat’ di dalam blog itu dan
sebagainya. Mudah untuk mereka bergalih dari satu post ke satu post
contohnya. Mudah bagi mereka untuk pulang ke HOME contohnya. Tidak perlu
hingga keluar beberapa tetingkap hanya di blog anda sahaja.
Blog yang baik juga mestilah menarik.
Post-postnya tidak berada di ruangan yang sempit. Post-postnya
mempunyai gambar entri yang menarik, cantik. Blog itu mempunyai ‘header’
yang menarik dengan bannernya yang cantik. Melambangkan identiti
blog/website tersebut. Bukan semata-mata ‘pakai letak’ sahaja atau
‘sekadar ada nama di situ’ semata-mata.
Rupa blog anda, melambangkan pentingnya penyampaian anda sebenarnya.






0 komentar:
Posting Komentar